Rakyat jangan keliru subsidi minyak masih dikekalkan – Alexander Nanta

Spread the love

KUCHING, 25 Jun: ‘Subsidi minyak masak masih dikekalkan’.

Itu ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang turut meminta agar rakyat tidak keliru dengan dakwaan kononnya kerajaan menarik balik subsidi berkenaan.

Menurutnya, kenyataan itu bukan sahaja tidak benar malah kerajaan telah menambah subsidi dalam usaha membantu rakyat.

Beliau menjelaskan, yang dimaksudkan subsidi minyak masak yang tidak dikekalkan hanya melibatkan minyak berbotol sahaja.

“Jadi saya nak tegaskan sekali lagi supaya semua tahu dan jangan keliru, bagi RM2.50 satu kilogram, satu polibeg itu masih kekal disubsidikan oleh kerajaan.

“Jadi subsidi tidak ditarik,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan One Stop Superstore cawangan kedua di Sarawak di Kuching Sentral di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan pada 2020, sebanyak RM400 juta hingga RM 500 juta dibelanjakan bagi subsidi itu ekoran harga minyak sawit yang rendah di pasaran global.

Namun kini subsidi perlu ditambah kerana harga satu tan metrik kelapa sawit mentah (CPO) sudah melonjak.

Selain itu, beliau turut menegaskan subsidi RM2.50 bagi paket minyak masak satu kg adalah untuk keperluan semua rakyat, lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah.

Tambahnya, rakyat hanya boleh mendapatkan dua atau tiga paket minyak satu kg sahaja pada satu pembelian.

“Cuma kita sekat satu pembelian dua paket atau tiga paket mengikut keadaan tempat dan keperluannya.

“Lebih-lebih lagi dua paket, satu pembelian supaya tidak ada seseorang datang membeli satu kotak dan tak ada lagi untuk orang lain,” ujarnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *