Kemenangan atasi Kelantan United FC permulaan baik buat Perak FC

Spread the love

KUALA TERENGGANU, 26 Jun: Pengendali Perak, FC Yusri Che Lah menyifatkan kemenangan mengejut ke atas Kelantan United dalam aksi Liga Premier malam tadi sebagai permulaan baik untuk pasukannya.

Malah kemenangan tersebut, kata Yusri akan menjadi pencetus semangat untuk anak buahnya meneruskan momentum serta rentak kemenangan pada perlawanan akan datang.

“Kami bersyukur kerana kemenangan malam ini membolehkan hutang tiga mata akibat pemotongan oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) dipadam dan selesai.

“Ini adalah ‘turning point’ untuk Perak FC…kami akan bermula daripada kosong mata. Jadi selepas ini kami perlu berusaha lebih keras untuk menang dan mengumpul mata berharga supaya sekurang-kurangnya kekal dalam Liga Premier musim depan,” katanya selepas perlawanan menentang Kelantan United FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, Perak FC berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan United FC hasil jaringan pemain import kelahiran Argentina, Luciano Guaycoachea.

Tambah Yusri, beliau juga berpuas hati dengan aksi cemerlang tiga import baharunya iaitu Guaycochea, Sunday Kolawale dan Stipe Plazibat.

“Pada awalnya saya agak risau untuk menurunkan pemain import pada malam ini (malam tadi) kerana mereka baru sahaja dua hari di Malaysia dan masih kepenatan selepas melalui perjalanan panjang hampir 40 jam,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan United Syamsul Mohd Saad berkata ketiadaan dua tonggak import, Amidu Salifu dan Njoku Jacob menjadi punca kekalahan skuad Kijang Hijau di tangan skuad The Bos Gaurus.

“Tetapi kita juga sebenarnya beroleh beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol, malangnya tidak disempurnakan dengan baik.

“Satu perkara yang kita sedar kekurangan pasukan ialah pemain tengah yang boleh ‘hold’ bola dan ‘create game’,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *