Kejayaan Bonnie, Jong angkat martabat komuniti OKU – Fatimah

Spread the love

KUCHING, 31 Ogos : Kejayaan atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie yang masing-masing meraih pingat emas dan perak dalam temasya Sukan Paralimpik di Tokyo mengangkat martabat dan maruah komuniti orang kurang upaya (OKU).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pencapaian itu juga membuka mata masyarakat tentang keupayaan yang boleh dijelmakan golongan oleh OKU.

“Mereka telah dapat menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Bukan calang-calang atlet dapat sampai ke tahap seperti ini,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Fatimah berkata kejayaan dua atlet para dari Sarawak itu juga dapat menyuntik semangat dan memotivasikan atlet para Sarawak yang akan bertanding pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor tahun hadapan.

“Diharapkan atlet para Sukma Sarawak dapat mengikut jejak Bonnie dan Jong serta mencapai kejayaan agar Sarawak sekali lagi muncul sebagai juara keseluruhan buat kali ke-14 pada SUKMA nanti,” katanya.

Bonnie yang bertanding bagi kategori lelaki 72 kilogram (kg), mencipta sejarah menjadi atlet pertama merangkul emas buat kontinjen negara pada temasya berprestij itu Sabtu lepas, sementara Jong berjaya merangkul perak dalam acara lelaki 107 kg hari ini, yang juga merupakan pingat kedua negara setakat ini.

Bagi temasya Sukan Paralimpik di Tokyo kali ini, lima daripada 22 atlet negara yang menggalas cabaran di negara matahari terbit itu adalah dari Sarawak.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *