Hanya perahu kosong ditemukan, warga emas dikhuatiri lemas

Spread the love

JULAU, 31 Ogos : Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas disyaki jatuh ke dalam sungai ketika hendak ke kebun di seberang rumah panjangnya.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, perahu yang dinaiki mangsa berusia 78 tahun tersebut ditemukan kosong pada jarak lebih kurang 50 meter dari jeti rumah panjang mangsa.

“Mangsa dikenali sebagai Sulau Bilong dilaporkan hilang oleh anaknya yang bertindak membuat panggilan kecemasan pada jam lebih kurang 11 malam semalam.

“Pihak pasukan bomba dan penyelamat terus bergegas ke lokasi rumah panjang selepas menerima panggilan dan tiba di sana sekitar jam 11.39 malam,” jelasnya.

Tambah Nicholas lagi, anak mangsa memberitahu bahawa bapanya keluar untuk ke kebun pada jam 4.15 petang Isnin.

Perahu kosong dipercayai dinaiki oleh mangsa yang ditemui oleh penduduk rumah panjang

“Kebun berkenaan berada di seberang rumah panjang mangsa yang perlu menggunakan kemudahan perahu melintasi Sungai Julau untuk ke sana,” katanya.

Tambahnya, penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa namun gagal dan hanya menemukan perahu yang digunakan mangsa untuk pergi ke kebun.

“Mangsa dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai memandangkan terdapat serpihan dahan kayu reput di dalam perahu tersebut ketika dijumpai oleh penduduk rumah panjang,” ujarnya.

Setelah mendapatkan maklumat dan mengesahkan kejadian, pihak Bomba bergerak ke balai dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pagi Selasa.

Mangsa, Sulau Bilong, 78

“Pencarian bersama pasukan bomba menggunakan bot panjang penduduk setempat dengan kaedah menyusuri sungai sehingga ke kawasan perahu mangsa ditemui.

“Pencarian diteruskan lagi di sebelah petang dengan sebuah bot rumah panjang dan sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Kaedah pencarian hanya secara ‘surface searching’ dengan menyusuri sungai ke hilir.

“Arus air agak deras akibat hujan semalaman. Bagaimanapun, cuaca cerah dan tidak hujan semasa pencarian,” jelasnya lagi.

Namun begitu, operasi SAR yang berlangsung sehingga 5.30 petang hari ini, terpaksa ditangguhkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

SAR akan disambung pada keesokan hari.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *