Berhenti kerja tetap, tanam cili secara fertigasi untuk raih RM18,000 sebulan

Spread the love

KUCHING, 31 OGOS: Hanya dengan menanam cili secara fertigasi, sepasang suami isteri mampu meraih pendapatan lebih RM18,000 sebulan setelah mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah syarikat minyak dan gas.

Nur Effareena Didi bersama suaminya yang berasal dari Kampung Tanah Putih Endap, Kota Samarahan ini mendapat ilham mengusahakan penanaman cili secara fertigasi setelah ternampak sebuah iklan di Facebook mengenai teknik penanaman tersebut.

“Sejak suami saya berhenti kerja dari sebuah syarikat minyak di Bintulu, dia berhasrat untuk mengusahakan penternakan ayam namun tergendala begitu sahaja oleh kerana perniagaan tersebut memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Setelah suami saya melihat iklan di Facebook mengenai penanaman teknik fertigasi, kami terus membuat keputusan untuk menyertai kursus tersebut dan Allhamdulillah, hasil dari penanaman itu kami tidak menyangka kami mampu meraih pendapatan sebanyak lebih dari RM18 Ribu untuk sebulan,” cerita Nur Effareena.

Menceritakan lebih lanjut, Effareena, 28 tahun, berkata, pada mulanya untuk peringkat percubaan, mereka hanya menggunakan 10 poli beg sahaja sebagai permulaan namun kini mereka berjaya menghasilkan lebih 3,000 poli beg cili fertigasi.

“Sebelum ini, saya dan suami hanya menanam 10 beg cili sahaja sebagai permulaan dan percubaan.

“Setelah memahami teknik penanaman fertigasi ini, ia sangat mudah kerana sistem pembajaan dan pengairan dilakukan serentak sekaligus menjimatkan masa dan juga kos,”kata Effareena ketika ditemui wartawan TVS.

Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari sebuah Universiti tempatan itu berpendapat ilmu yang dipelajarinya itu banyak membantunya dalam selok-belok perniagaannya kini.

Kini beliau dan suaminya Syahrul Hafez Azim mengusahakan kebun cilinya dan juga memvariasikan penanaman mereka dengan menanam cili, terung dan sawi secara fertigasi.

Katanya lagi, mereka turut memanfaatkan geran dari Jabatan Pertanian Sarawak yang melibatkan Rumah Hijau (40 kaki x 60 kaki) dan 400 beg poli bagi set fertigasi.

“Pada 2019 kami berdua telah menerima geran daripada Jabatan Pertanian untuk Rumah Hijau dan 400 beg poli set fertigasi.

“Dan pada tahun yang sama, kami turut mendapatkan geran dari Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadau (IADA) iaitu Rumah Hijau yang berkeluasan 20 kaki x 100 kaki dan 300 beg poli,” jelasnya.

Dalam pada itu Effareena menambah, mereka hanya memasarkan cili ini di pasar dan juga terus kepada pemborong.

“Setakat ini kami hanya menghantarkan cili-cili ini terus kepada pemborong selain berhasrat untuk menjadi pembekal utama di seluruh Sarawak,”katanya ketika ditanya mengenai pemasaran cili fertigasinya dan hasrat beliau di masa hadapan.

Fertigasi merupakan perkataan yang diterjemahkan daripada perkataan Inggeris “Fertigation” iaitu gabungan perkataan Fertilise (atau baja) dengan perkataan “Irrigation” (atau pengairan).

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *