Jumlah penduduk tanpa dokumen pengenalan diri berkurangan – Dennis Ngau

Spread the love

MIRI: Program outreach Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dilaksanakan sejak tahun 2011 telah berjaya mengurangkan jumlah penduduk luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negerinya, Dennis Ngau, baru-baru ini pihak JPN Sarawak khususnya yang beroperasi di Miri telah mengadakan program tersebut di dua lokasi iaitu di Apau Nyaring, Ulu Tinjar dan Long Keluan.

Ia melibatkan kaum Penan, Kayan dan Kenyah.

“Dalam dua lokasi program ini, iaitu Apau Nyaring, lebih lima buah kampung telah menyertainya. Begitu juga di Long Keluan di mana penduduk yang hadir adalah dari beberapa buah kampung.

“Hampir 100 permohonan diterima oleh pihak JPN dalam program outreach pada kali ini,” katanya ketika dihubungi TVS pada Selasa.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pengalaman beliau yang turun padang bersama pihak JPN, beliau sesungguhnya sangat menghargai usaha tersebut kerana untuk menjalankan operasi di kawasan pedalaman adalah amat sukar.

Namun, ia tetap diteruskan demi tanggungjawab mereka dalam memastikan semua penduduk di kawasan pedalaman memperoleh dokumen pengenalan diri.

“Jadi terima kasih sekali lagi kepada pihak JPN kerana sudi datang dari bandar raya Kuching, Miri, dan terpaksa duduk di tempat yang tidak sesuai untuk tidur, makan, tetapi demi tanggungjawab, mereka melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi,” ujarnya lagi.

Dennis memberitahu, program seperti ini juga telah diuar-uarkan kepada penduduk kampung melalui radio, ketua kampung dan ketua masyarakat.

Beliau percaya ketua-ketua kampung dan ketua-ketua masyarakat yang dilantik untuk mengambil maklumat tidak akan melakukan perkara yang tidak diingini.

Oleh yang demikian, beliau menyeru agar penduduk kampung memberikan kerjasama yang baik.

Dalam pada itu, beliau berharap agar program ini yang dilaksana berdasarkan kepada ‘case-by-case basis’ akan diteruskan supaya semua penduduk luar bandar, terutama di kawasannya, akan memiliki kad pengenalan serta sijil lahir.

Beliau menambah, jika dibandingkan situasi terkini dengan yang sebelumnya, situasi terkini adalah lebih baik.

Dahulu penduduk kampung terpaksa pergi ke JPN yang terdekat seperti di Miri dan Marudi, dan ia sememangnya membebankan penduduk.

Ini adalah kerana penduduk kampung terpaksa mengeluarkan belanja yang sangat besar.

Di atas sebab itu jugalah beliau berharap usaha ini akan diteruskan.

Beliau kini sedang memohon untuk mengadakan program ini di kawasan Batah Abang yang juga terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negerinya.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *