Bonnie bakal terima ganjaran RM50,000 dari Yayasan Kebudayaan Dayak

Spread the love

KUCHING, 31 Ogos: Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) bakal menghadiahkan ganjaran berjumlah RM50,000 kepada Bonnie Bunyau Gustin yang telah berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia dalam acara powerlifting pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pemegang Amanah DCF Tan Sri Leonard Linggi Jugah berkata, jaguh powerlifting negara itu telah berjaya membuat seluruh rakyat Malaysia khasnya Sarawak kagum dengan pencapaian luar biasanya dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) di Tokyo International Forum.

“Kejayaannya sekaligus membawa penghormatan dan kebanggaan kepada bangsa, negara dan masyarakat.

“Kami di pihak DCF di bawah kepimpinan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengucapkan tahniah kepada Bonnie atas pencapaiannya.

“DCF berbesar hati untuk menganugerahkan Bonnie dengan insentif sebanyak RM50,000,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Isnin.

Atlet berusia 22 tahun yang berbangsa Bidayuh dari Serian itu telah meraih emas dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) dan memecahkan rekod Paralimpik dengan 228kg sekaligus meninggalkan pencabar terdekat Mahmoud Attia dari Mesir di tempat kedua (191kg) dan Micky Yule dari Great Britain di tempat ketiga (182 kg).

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut sempat menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepadanya di atas pencapaian tersebut.

Baginya, Bonnie layak menerima sanjungan dan ganjaran di atas kejayaan itu.

“Sebelum ini, saya pernah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi insentif kepada atlet-atlet kita. Kita akan memberi insentif kepada Bonnie tetapi bentuk insentif kita belum kenal pasti lagi,” katanya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *