Usah terpengaruh dengan ideologi yang mengugat kestabilan sosial Sarawak – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 30 Ogos: Rakyat Sarawak digesa untuk tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang disebarkan oleh sesetengah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sekaligus mengugat kestabilan politik dan sosial negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berpesan kepada orang ramai untuk sentiasa berwaspada selain berpendirian teguh.

“Ancaman ideologi belum lagi berakhir, khususnya oleh negara-negara Barat.

“Janganlah kita cenderung untuk membawa anasir-anasir luar melalui NGO-NGO tertentu untuk menggugat kestabilan sosial dan politik negeri kerana pada akhirnya kelak hanya orang Sarawak sahaja yang akan membantu orang Sarawak.

“Orang asing atau orang luar yang cuba mempengaruhi kita dengan pelbagai alasan tidak akan bersama kita sehingga ke penghujungnya.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan saya sentiasa terbuka untuk berbincang secara ikhlas dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan apa sahaja permasalahan yang mungkin dihadapi untuk kepentingan rakyat dan negeri ini,” katanya dalam satu perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat negeri yang akan disambut esok (31 Ogos).

Pada masa sama, beliau sempat merakamkan harapan agar pelantikan Perdana Menteri baharu dan ahli Kabinetnya mampu melahirkan sebuah kerajaan dengan situasi politik yang stabil.

Beliau kesal dengan krisis politik negara yang telah merumitkan lagi keadaan kerana para kepimpinan atasan negara sentiasa dibelenggu oleh ketidaktentuan dan persoalan keabsahan perdana menteri.

Dengan pelantikan baharu itu, beliau mahu kerajaan kembali stabil serta isu kesihatan membabitkan COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.

“Sebagai Ketua Kerajaan GPS, saya ingin mengulangi pendirian bahawa Kerajaan GPS sentiasa ingin mahu melihat kestabilan di peringkat Kerajaan Persekutuan agar perang terhadap COVID-19 dapat terus diperhebatkan dan ekonomi negara diperkukuhkan.

“Jika COVID-19 gagal dibendung dan ekonomi negara merudum, ia akan membawa kerugian kepada semua,”

Rakyat katanya perlu terus bersatu hati dalam memerangi musuh bersama iaitu COVID-19.

“Ini bukanlah masa untuk kita semua bertelagah sesama sendiri oleh kerana kepentingan politik atau kepentingan peribadi, “ tegasnya.

Tambah beliau lagi, peranan politik adalah sebagai alat untuk merapatkan barisan bagi masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *