Menteri Belia dan Sukan mohon maaf

Spread the love

KUALA LUMPUR, 30 Ogos : Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf terhadap peminat bola sepak tempatan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kenyataan beliau mengenai penambahan pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super musim depan yang tular di media sosial.

Ahmad Faizal berkata,  beliau turut mengambil peluang untuk memohon maaf kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan  Ketua Pegawai Eksekutif , Liga Bolasepak Malaysia (MFL),  Stuart Ramalingam kerana nama dua individu berkenaan disebut dalam videonya yang tular.

” Pertama sekali saya berasa bersyukur kerana apa yang diperkatakan itu berlaku sebelum saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya faham ia merupakan kekhilafan saya keluarkan kenyataan sedemikian sehingga mendatangkan perdebatan hangat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media  di Kementerian Belia dan Sukan selepas majlis angkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan di Istana Negara hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Malam tadi,  Stuart yang juga Setiausha Agung FAM menafikan pernah mengadakan perbincangan dengan mana – mana individu berhubung kemungkinan untuk menambah pasukan dalam Liga Super menjadi 16 berbanding 12 ketika ini.

Menerusi video berdurasi seminit enam saat itu, Ahmad Faizal menjelaskan, KBS tidak mempunyai kuasa untuk menambah pasukan dalam Liga Super namun mengatakan beliau telah berbincang dengan Hamidin dan Stuart supaya tambahan pasukan dilakukan dan mengikut garis panduan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut beliau lagi, sekiranya perkara itu berlaku, Perak FC akan terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana.

Kenyataan beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu menerima kecaman kerana dikatakan menggunakan kedudukannya untuk menyelamatkan bekas juara Piala Malaysia 2018 itu.

Perak FC kini dalam keadaan genting untuk kekal di Liga Super apabila sekadar menghuni tangga ke -11 selepas mengharungi 20 perlawanan dengan memungut 13 mata.

Berdasarkan format Liga Super, dua pasukan terbawah akan disingkirkan ke Liga Perdana  dan sekiranya skuad The Bos Gaurus ‘jatuh’ liga, ia merupakan mimpi ngeri kepada bola sepak negeri itu memandangkan pasukan itu tidak pernah beraksi di Liga Premier.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada atlet powerlifting kebangsaan, Jong Yee Khie yang merangkul pingat perak kategori lelaki 107 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.- TVS

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *