Limbang, Kapit dan Miri diisytihar kawasan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF)

Spread the love

KUCHING, 30 Ogos — Bahagian Limbang, Kapit dan Miri di Sarawak diisytihar kawasan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) susulan penularan virus berkenaan di Sabah dan Utara Kalimantan di Indonesia.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud berkata di bawah Seksyen 35(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, orang awam tidak dibenarkan untuk memindah atau membawa babi hidup, daging atau hasil produk haiwan itu keluar dari kawasan kawalan.

“Orang awam juga tidak dibenarkan membawa masuk, jual beli secara dalam talian atau aktiviti kiriman pos sebarang daging babi atau hasil produknya tanpa permit, membeli atau menjual (secara fizikal atau dalam talian) atau menyimpan babi hutan dan babi hutan liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya tiada pampasan akan dibayar untuk sebarang babi atau hasil produk babi yang dirampas atau dimusnahkan di bawah seksyen ini dan kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.

Katanya sekiranya terdapat sebarang keganjilan atau kelainan dalam kadar kematian ternakan di ladang ternakan, para penternak harus melaporkan terus kepada Pejabat Veterinar Bahagian terdekat atau boleh menghubungi talian Whatsapp 016-284 0918.

— BERNAMA

Tags: #bm, asf

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *