Istiadat angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri lancar

Spread the love

KUALA LUMPUR, 30 Ogos : Seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri menyempurnakan majlis mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Istiadat yang berlangsung pada 2.30 petang dimulakan dengan pengurniaan surat cara lantikan kepada beberapa Jemaah Menteri yang didahului oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz, Datuk Seri Fadhillah Yusof, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk M Saravanan.

Upacara kemudian diteruskan dengan kumpulan kedua Jemaah Menteri yang membabitkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Turut menyertai kumpulan ini ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) , Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Kumpulan ketiga yang turut menghadap Seri Paduka untuk menyempurnakan istiadat berkenaan terdiri daripada Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mereka masing – masing akan menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Menyusul selepas itu ialah kumpulan membabitkan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Zuraidah Kamaruddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Seterusnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar pula mengangkat sumpah bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad sebagai kumpulan menteri terakhir.

Kesemua menteri turut menandatangani surat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah jawatannya pada 20 Ogos lepas bagaimanapun tidak dapat hadir kerana menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan sebagai kontak rapat pesakit COVID-19 hari ini.

Majlis penuh istiadat itu diteruskan dengan kumpulan pertama Timbalan Menteri diketuai Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bersama Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said , Mohd Shahar Abdullah, Datuk Mastura Mohd Yazid, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Kumpulan kedua pula terdiri daripada Eddin Syazlee Shith, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz, Muslimin Yahaya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Datuk Rosol Wahid. 

Kemudiannya, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman mengetuai kumpulan ketiga yang mengangkat sumpah bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Dr Santhara Kumar dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Anak Biju.

Selain itu, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin; Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong juga menyertai kumpulan berkenaan menyempurnakan angkat sumpah masing – masing.

Seterusnya, kumpulan keempat timbalan menteri terdiri daripada Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri II Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Turut serta, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary. 

Majlis angkat sumpah membabitkan Timbalan Menteri menyaksikan kumpulan terakhir yang berbuat demikian terdiri daripada  Datuk Seri Jalaluddin Alias, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon, Yamani Hafez Musa dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Istiadat selesai kira -kira pada pukul 4.30 petang dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Majlis kemudian ditutup oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendi Zairakhithnaini, selepas mendapat perkenan Seri Paduka dan lagu Negaraku dimainkan sebelum Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan majlis.

Kesemua yang mengangkat sumpah hari ini diumumkan menganggotai senarai kabinet Kerajaan Persekutuan oleh Ismail Sabri pada Jumaat lepas. -TVS

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *