Durian RM1 sekilo ‘diserbu’, laris dalam tempoh kurang tiga jam

Spread the love

TUMPAT, 2 Ogos — Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu. Itulah ungkapan sesuai bagi seorang ibu tunggal apabila jualan duriannya sebanyak empat tan sehari laris dalam tempoh kurang tiga jam.

Tengku Nor Amira Tengku Razaman, 31, berkata beliau mengambil inisiatif menjual durian serendah RM1 sekilogram selepas ramai yang merungut tidak mampu membeli raja buah itu kerana harganya yang mahal.

Katanya, harga buah itu yang mahal sehingga mencecah puluhan ringgit bagi sekilogram menyebabkan golongan B40 termasuk mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh pandemik ini tidak mampu membelinya untuk dimakan bersama keluarga. 

“Selepas menerima beberapa keluhan dan rungutan, saya mengambil inisiatif untuk berniaga raja buah ini dengan harga yang rendah, sekali gus kesemua lapisan masyarakat dapat membelinya.

“Kebiasaannya, saya akan memborong bekalan durian dengan pembekal di Jeli pada harga yang murah, untuk membolehkan saya menjualnya semula dengan harga yang rendah,” katanya ketika ditemui pemberita di gerai durian miliknya di laluan utama Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Tengku Nor Amira berkata beliau terpaksa berhenti kerja di sebuah kolam udang di Puncak Jalil, Selangor disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak April lepas.

Katanya, selepas pulang ke kampung halaman beliau terdetik untuk memulakan perniagaan buah durian berkenaan yang turut dibantu oleh enam ahli keluarga yang lain. 

“Pada awal permulaan perniagaan saya mengambil risiko dengan membelanjakan sejumlah RM2,700 untuk membeli bekalan durian sebanyak 400 kilogram daripada pembekal di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong.

“Alhamdulillah, ternyata usaha dan risiko yang diambil sangat berbaloi apabila kini saya mampu menjual sebanyak empat tan durian sehari dengan hasil jualan melebihi RM5,000 walaupun ia dijual dengan harga yang murah iaitu sekitar RM1 hingga RM2 sekilogram bergantung kepada jenis durian,” katanya yang menjual durian jenis kampung.

Tengku Nor Amira berkata walaupun durian yang dijualnya sangat murah, beliau tetap menjaga kualiti durian dengan memastikan hanya buah elok sahaja yang dijual untuk mengelakkan pembeli kecewa. 

Seorang pembeli, Rokiah Husin, 66, berkata beliau sanggup beratur panjang di gerai milik Tengku Nor Amira untuk membeli durian murah.

“Setakat ini, saya tidak pernah jumpa peniaga durian yang menjual harga yang sangat murah ini. Syukurlah, sekurang-kurangnya golongan yang tidak berkemampuan pun dapat merasai raja buah ini walaupun hanya sekali setahun,” katanya. 

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *