Tahap pendidikan rendah antara cabaran Jabatan Peguam Negara tangani kes pemerdagangan orang

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Tahap pendidikan yang rendah dalam kalangan mangsa merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh Jabatan Peguam Negara dalam menyelesaikan kes melibatkan pemerdagangan orang.

“(Oleh itu), mereka senang jadi mangsa penipuan seperti kandungan kontrak yang diterima atau penjanjian dengan majikan seperti gaji dan seumpamanya. Malahan ada mangsa yang tidak tahu sama ada mereka memasuki negara ini secara sah atau tidak,” kata Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Yusaini Amer Abdul Karim. 

Dalam temu bual ‘Cabaran Pendakwaan Terhadap Pesalah dan Sokongan Kepada Mangsa Pemerdagangan Orang’ oleh Bernama Radio hari ini, beliau berkata tindakan undang-undang terhadap tertuduh dalam kes sedemikian menemui jalan buntu apabila mangsa enggan memberi keterangan atau keterangan itu bercanggah.

“Ini terjadi kerana mangsa selalunya dipengaruhi untuk tidak menaruh kepercayaan terhadap pihak berkuasa selain diancam dengan pelbagai ugutan ke atas diri, keluarga atau orang yang rapat (dengan mereka),” katanya.

Bagi mengatasi pengaruh luar ini, mangsa pemerdagangan orang diberi perintah perlindungan yang dibiaya kerajaan atau badan bukan kerajaan dengan kebajikan mereka terjaga sepanjang tempoh memberi keterangan di mahkamah sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Mangsa juga boleh dilindungi di bawah Program Perlindungan Saksi jika terdapat ancaman nyawa atau kes mereka melibatkan kegiatan jenayah oleh sindiket.

Yusaini Amer berkata program di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 yang menyaksikan mereka diletak di bawah jagaan pihak berkuasa kebiasaannya melibatkan warga tempatan.

“Ada juga keadaan identiti mereka akan diubah supaya mereka tidak boleh dikesan oleh sindiket yang mencari mereka bagi menggagalkan satu-satu kes pendakwaan,” katanya.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *