12 individu ditahan terlibat judi dalam talian – Polis

Spread the love

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Sebanyak 12 individu termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Petaling, di sini, semalam kerana disyaki terlibat sindiket perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata dalam serbuan pada 2 petang itu pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk dua set komputer, 12 komputer riba, 105 telefon bimbit pelbagai jenama dan satu unit modem dipercayai digunakan menjalankan perjudian itu.

“Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bersama Pegawai Makmal Forensik Bukit Aman dan Pakar Judi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Kesemua 12 suspek adalah rakyat tempatan berusia 19 hingga 25 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anuar kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *