Tindakan kerajaan umpama satu bentuk penderhakaan – Penganalisis Politik

Spread the love

KUCHING: Tindakan kerajaan boleh dikatakan umpama satu bentuk penderhakaan terhadap Institusi dan Perlembagaan Raja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dick Lembang Dugun berkata, kerajaan memerintah dilihat melakukan perkara berkenaan kerana Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Baginda begitu dukacita dengan pihak kerajaan apabila perbatalan Ordinan Darurat yang seharusnya dibahaskan di parlimen bagi tujuan diungkaikan yang termaktub di dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan tidak dilakukan oleh kerajaan ketika sesi persidangan khas kali ini,” katanya kepada TVS.

Jelasnya, apabila kerajaan terbukti mengetepikan perintah Yang di-Pertuan Agong, maka ia juga akan memberi kesan kepada pemerintahaan kerajaan yang mentadbir.

“Ia memang memberi kesan kerana sebuah kerajaan seharusnya menjunjung tinggi perlembagaan serta proses demokrasi yang kita amalkan.

“Ini terang-terang mengetepikan perintah Yang di-Pertuan Agong sehingga mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” tambahnya.

Dick Lembang Dugun, Penganalisis Politik UNIMAS

Terdahulu, menerusi kenyataan Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *