Pemantauan dan saringan pengesanan Covid-19 sebelum dan semasa pelaksanaan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Seperti makluman umum, Sidang Mesyuarat Khas Parlimen berlangsung bermula pada 26 Julai 2021 sehingga 29 Julai 2021 dan 2 Ogos 2021 bertempat di Dewan Parlimen Negara, Kuala Lumpur. Pihak Parlimen bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membangunkan beberapa Prosedur Amalan Standard (SOP) bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 sepanjang persidangan tersebut.

Antara SOP yang ditetapkan kepada semua individu yang terlibat dalam persidangan adalah diwajibkan menjalani ujian RT-PCR, 3 hari sebelum hadir ke Parlimen bagi ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai pengiring dan pegawai-pegawai Kementerian. Manakala bagi pihak media, kakitangan parlimen dan kontraktor, ujian makmal ini haruslah dibuat dalam tempoh 5 hari sebelum hadir di Parlimen. Individu yang bergejala juga dilarang hadir dan memasuki Parlimen.

Semasa hari persidangan berlangsung, individu dengan keputusan negatif COVID-19 harus membawa sesalinan keputusan tersebut ke Parlimen sebagai bukti. Individu yang bergejala hendaklah diasingkan dan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, penilaian risiko serta ujian saringan. ‘Booth’ Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah dipasang di Parlimen bagi menyediakan perkhidmatan RTK-Ag Self-Test Kit Saliva untuk saringan kendiri individu yang bergejala.

Sebelum mendaftar masuk secara harian sepanjang tempoh persidangan, individu diwajibkan mendaftar kehadiran menggunakan imbasan kod QR melalui aplikasi MySejahtera serta mengemaskini status risiko COVID-19 di paparan “Update My COVID-19 Risk Status” dalam aplikasi tersebut. Hanya individu yang negatif ujian pengesanan COVID-19, berstatus risiko rendah atau kontak kasual dan tidak bergejala akan dibenarkan masuk ke Sidang Parlimen. Bagi individu yang tidak mempunyai telefon pintar, mereka perlu merekodkan kehadiran secara manual.

Pihak Parlimen telah mengarahkan semua individu yang dijemput hadir ke Sidang Parlimen ini untuk menjalani saringan COVID-19 antara 21 Julai hingga 25 Julai 2021, sama ada di Kompleks Parlimen, PKD Putrajaya, fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta. Dalam tempoh tersebut sebanyak 2,093 individu telah menjalani saringan ujian COVID-19. Sehingga 28 Julai 2021, sebanyak 56 kes positif COVID-19 telah dikesan melibatkan dua (2) orang Ahli Parlimen, enam (6) orang pegawai pengiring dan 48 orang pegawai dari pelbagai agensi kerajaan. Ini menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus. Dari 56 kes yang positif ini, 39 (69.6 peratus) terdiri dari mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin. Hasil siasatan dan penilaian risiko yang dijalankan setakat semalam, kes-kes positif ini tidak mempunyai kaitan epidemiologi di antara satu sama lain.

Individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen. Mereka telah diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif tersebut sebelum hari bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen. Siasatan diteruskan untuk mengesan kontak rapat kepada kes-kes positif ini. Sehingga kini (28 Julai 2021), empat (4) orang kontak rapat telah disahkan positif COVID-19. Keempat-empat kontak rapat ini tidak hadir sejak dari hari pertama persidangan berlangsung dan sedang dalam tindakan susulan oleh pihak kesihatan.

Mengambilkira situasi semasa COVID-19 di Malaysia, keputusan saringan yang dijalankan sebelum Parlimen dan bagi mencegah penularan COVID-19 semasa persidangan ini berlangsung, KKM mencadangkan agar jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan. Perkara ini telah dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan semasa Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak COVID-19 pada 26 Julai 2021 jam 8 pagi.

Bagi memastikan Sidang Khas Parlimen terus berjalan lancar, semua individu dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan sedia ada.

KKM akan terus memantau perkembangan situasi di Parlimen. Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah ditempatkan di Bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala ke atas semua yang memasuki bangunan Parlimen. Sehingga 28 Julai 2021 seramai 104 individu telah menjalani ujian saringan kendiri “RTK-Ag Self Test Kit” menggunakan sampel saliva dan mendapati kesemuanya negatif COVID-19. Sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan individu yang menghadiri Parlimen, siasatan akan dijalankan termasuk pengesanan kontak dan punca jangkitan. Selain dari itu, penilaian risiko juga akan dijalankan untuk mengetahui samada terdapat penularan jangkitan berlaku di kalangan mereka yang hadir ke Parlimen dan keperluan penutupan sementara untuk menjalankan langkah-langkah pencegahan dan kawalan. Berdasarkan penilaian risiko dijalankan oleh pasukan kesihatan yang ditempatkan di Parlimen, buat masa ini tiada penularan jangkitan COVID-19 dikesan. Namun, pemantauan dan penilaian risiko akan diteruskan sehingga Sidang Mesyuarat Parlimen ini tamat.

Justeru, KKM ingin mengingatkan agar setiap individu hendaklah bersama-sama bertanggungjawab agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta hendaklah mengamalkan normal baharu.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *