Tenaga pengajar tahfiz mengaku tidak bersalah kemuka dokumen palsu

Spread the love

ALOR SETAR, 28 Julai — Seorang tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu, enam tahun lepas.

Mohd Idrus Ahmad, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Dia dituduh menggunakan sekeping Cabutan Minit Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pengurusan Maahad Tahfiz Intan Sungai Petani Kali Ke-8 bertarikh 21 Jun 2015 yang dipercayai palsu, di Pejabat Peguam Tetuan Badrul, Samad, Faik & Co di Kuala Muda pada 15 Sept 2015.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam Saiful Izham Ramli.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *