Dua pemain import dari Brazil sah tinggalkan Perak FC

Spread the love

IPOH, 28 Julai– Perak FC mengesahkan dua tonggak import dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Raianderson telah meninggalkan pasukan itu melalui surat penamatan kontrak yang dihantar kepada pihak pengurusan kelab dua hari lepas.

Ketua jurulatihnya Chong Yee Fatt berkata meskipun agak mengejutkan beliau sudah dapat menjangkakan keputusan itu selepas kedua-dua pemain enggan beraksi dalam perlawanan menentang Terengganu dengan alasan mengalami kecederaan.

“Dalam tiga atau empat hari sebelum ini memang saya ada dengar desas-desus mereka nak keluar daripada pasukan. Tapi saya tidak ambil kisah sebab mereka masih menjalani latihan dengan pemain lain.

“Tiba-tiba bila kita hendak ke Terengganu, mereka kata tidak mahu main sebab cedera dan lepas kami balik, pihak pengurusan beritahu saya kedua-dua pemain sudah hantar surat penamatan kontrak,” katanya pada sidang media di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, desas-desus kedua-dua pemain tersebut meninggalkan pasukan hangat diperkatakan di beberapa laman sosial rasmi penyokong The Bos Gaurus selepas tidak beraksi ketika Perak dibelasah Terengganu 0-5 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 24 Julai.

Leandro, 35, yang beraksi di posisi tengah telah bersama The Bos Gaurus sejak 2017 manakala Rainderson, 26, atau dikenali sebagai Careca merupakan pemain di bahagian serangan dan mula menabur bakti pada 2019.

Chong berkata ketiadaan kedua-dua pemain itu satu tamparan kepada pasukan memandangkan khidmat mereka amat ditagih bagi memastikan The Bos Gaurus berjaya melakar keputusan yang lebih positif.

“Memang tertekan lebih-lebih lagi dengan kedudukan kita yang masih berada sedikit di atas zon penyingkiran. Dengan kejadian ini, ditambah pula beberapa pemain tempatan yang masih tidak boleh bermain, situasi kita jadi lebih rumit,” katanya.

Bagaimanapun beliau tetap tidak akan menyerah kalah selain mengharapkan pemain terus fokus dan menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan misi untuk kekal dalam Liga Super berjaya direalisasikan.

“Masih ada masa, masih ada beberapa perlawanan lagi. Saya harap pemain kekalkan komitmen, saya yakin misi kita untuk kekal (dalam Liga Super) akan berjaya,” katanya.

 Dalam aksi Liga Super 2021 di Stadium Perak malam tadi, Perak FC dan Kuala Lumpur City FC berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *