Lima Tahanan APMM Lolos Berjaya Ditahan Semula

Spread the love

MIRI, 25 JULAI: Lima tahanan lokap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang meloloskan diri pada 15 Julai lalu, berjaya diberkas semula pada Jumaat.

Tangkapan lima lelaki warga Vietnam itu dilakukan sekitar jam 11 malam di sekitar kawasan semak berhampiran muara Sungai Miri.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md. Fauzi Othman berkata kelima-lima suspek adalah antara 13 nelayan asing yang ditangkap pada 28 Jun lepas atas kesalahan menceroboh perairan, menangkap ikan tanpa permit serta tiada pengenalan diri yang sah.

“Berikutan itu, operasi kejar buru dilancarkan melalui risikan maklumat, carian darat dan sekatan sungai di kawasan muara Sungai Miri untuk menjejaki dan memberkas selain mengelakkan tahanan melarikan diri melalui jalan laut,” katanya menerusi kenyataan media.

Lokasi persembunyian itu berjaya dihidu pasukan operasi susulan mengekori pergerakan sebuah kenderaan mencurigakan yang memasuki kawasan loji kumbahan berhampiran muara Sungai Miri.

“Mereka meletakkan bungkusan yang disyaki makanan dan terus keluar meninggalkan lokasi,” dedahnya.

Sejurus selepas itu, kelihatan kelibat lima individu dari arah pantai menyelinap masuk ke kawasan semak berhampiran dan intipan mendapati bungkusan yang disyaki berisi makanan itu juga telah tiada, dipercayai diambil oleh suspek.

Susulan itu, kawasan tersebut telah dikepung dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menangkap kesemua suspek.

APMM merampas satu unit telefon bimbit daripada salah seorang suspek, yang disyaki digunakan untuk menghubungi dalang yang menghantar bungkusan makanan kepada mereka.

“Dalang yang dipercayai bersubahat kini sedang diburu oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” jelas Fauzi.

Kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Batu Niah dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *