Gereja Dalam Zon PKPD Terus Ditutup

Spread the love

KUCHING, 25 JULAI: Meskipun rumah ibadat bukan Islam sudah diberi kebenaran untuk dibuka di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua, namun gereja dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kekal ditutup.

Menurut Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS), Uskup Agung Simon Poh, bagi gereja-gereja di luar kawasan PKPD pula, adalah sebaiknya tidak dibuka terlebih dahulu memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih sangat membimbangkan.

“Saya dengan rendah hati mengingatkan semua pemimpin gereja untuk memastikan keadaan jangkitan Covid-19 di kawasan anda adalah terkawal sebelum mengambil keputusan untuk membuka semula gereja.

Sepanjang bulan lepas, kita telah berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terbukti, dengan kepantasan proses vaksinasi, penularan wabak itu menunjukkan penurunan.

Janganlah kita sia-siakan pengorbanan yang kita lakukan untuk mengawal gelombang pandemik ini,” katanya ketika dihubungi TVS.

Poh yang merupakan Uskup Agung Gereja Roman Katolik Kuching berkata ACS mengambil maklum garis panduan atau SOP bagi PPN Fasa Dua di negeri ini, yang membenarkan pembukaan rumah ibadat dan gereja khususnya kepada jemaat.

“Selepas menerima SOP ini semalam, kami (pemimpin gereja ACS) telah membuat perbincangan dan bersetuju bahawa langkah berwaspada perlu diambil sebelum membuka gereja, seawal hujung minggu ini terutamanya di Kuching, dengan kes jangkitan yang masih tinggi serta jangkitan varian Delta yang dikesan di Sarawak,” tambahnya.

SOP PPN Fasa Dua menggariskan rumah ibadat bukan Islam boleh dibuka dari jam 6 pagi hingga 8 malam dengan kehadiran 50 peratus atau maksimum 50 orang, yang mana lebih rendah.

Paderi, sami atau penjaga rumah ibadat berkenaan hendaklah sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 mereka, sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembukaan semula.

Penganut yang belum menerima vaksin tidak akan dibenarkan masuk ke dalam rumah ibadat.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *