Bantuan makanan 10 tan disampaikan kepada penduduk enam kampung di bawah PKPD

Spread the love

KUCHING, 25 Julai — Bantuan makanan berjumlah 10 tan telah sampai kepada 2,500 keluarga di sekitar Tabuan Melayu di sini, sumbangan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam satu kenyataan hari ini berkata penerima yang berjumlah kira-kira 10,000 orang itu adalah penduduk enam kampung di kawasan berkenaan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 29 Julai.

Setiap isi rumah menerima bungkusan yang mengandungi barang keperluan, termasuk makanan dalam tin, daging segar serta ayam segar.

“Malang sekali bagi penduduk kawasan ini yang terpaksa diletakkan di bawah PKPD semasa sambutan Aidiladha, namun mereka harus faham bahawa langkah ini penting bagi membendung penularan jangkitan virus COVID-19.

“Saya harap bantuan makanan yang diagihkan ini boleh meringankan beban yang dihadapi penduduk dalam mengharungi tempoh yang cukup mencabar ini,” katanya.

Sementara itu Wan Junaidi berkata beliau optimis seluruh penduduk dalam kawasan parlimen Santubong akan divaksin sepenuhnya hujung bulan ini.

Katanya berdasarkan kepada laporan yang diterima, program imunisasi di kawasan parlimen itu sedang berjalan lancar dengan mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk dan difahamkan kebanyakan penduduk sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *