Bomba terpaksa mendaki Bukit Harimau Menangis, padam kebakaran hutan

Spread the love

CHUKAI, 23 Julai — Pasukan bomba terpaksa mendaki Bukit Harimau Menangis di sini selama 30 minit untuk memadam kebakaran hutan yang berlaku di kawasan itu seluas kira-kira 0.8 hektar, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh Khairulhasni Mohktar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3 petang dan sepasukan anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran dikatakan bermula dari puncak Bukit Harimau Menangis sebelum merebak turun ke kaki bukit dan telah melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar. Anggota kita terpaksa mendaki bukit setinggi kira-kira 200 meter dengan membawa peralatan yang berat untuk naik ke puncak.

“Selain itu, kita juga mempunyai kesukaran mendapatkan sumber air di puncak bukit dan terpaksa mengambil air dari tasik yang berdekatan kaki bukit tersebut untuk memadamkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khairulhasni berkata sehingga kini, pihaknya telah berjaya mengawal kebakaran tersebut dan api dijangka berjaya dipadam sepenuhnya lewat malam ini.

“Punca sebenar kebakaran masih disiasat namun saya nasihatkan orang ramai yang melakukan aktiviti mendaki di kawasan bukit dan hutan ini supaya tidak sewenang-wenangnya membuang puntung rokok kerana ia boleh menjadi satu daripada punca kebakaran hutan,” katanya.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *