Mayat Pemandu Lori Arang Batu Ditemukan Terapung – Bomba

Spread the love

PORT DICKSON, 20 Julai — Mayat pemandu lori arang batu yang terjatuh ke dalam laut dari jeti pemunggahan arang batu Jimah Power Plant di sini, awal pagi semalam, ditemukan terapung di pesisiran pantai Bagan Lalang hari ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Mohd Hafiz Ahmad Termizi berkata mayat Sharul Nizwan Said, 33, yang berpakaian lengkap ditemukan kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian oleh pasukan penyelamat pada jam 4 petang tadi.

“Semalam kita dah buat operasi mencari dan menyelamat (SAR) tetapi belum jumpa dan hari ini kita teruskan operasi seawal 8 pagi tadi dengan beberapa strategi antaranya memecahkan kumpulan pencarian di dasar laut dan permukaan air yang dilakukan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

“Dari segi status kecederaan fizikal, kami masih menunggu pengesahan laporan daripada hospital,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini..

Bagaimanapun, katanya lori seberat tiga tan dipandu mangsa, yang dijumpai di dasar laut pada jam 11.23 pagi semalam, masih lagi dalam proses untuk dinaikkan ke permukaan susulan terdapat beban selain arus laju dasar laut ketika ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan operasi pencarian ditamatkan pada pada jam 5.15 petang tadi.

Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini melibatkan lebih 60 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dua anjing pengesan bomba.

Dalam kejadian di jeti berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi semalam, Sharul Nizwan telah hilang dan dikhuatiri lemas selepas lori yang dipandunya secara mengundur terjatuh ke dalam laut ketika sedang melakukan kerja pembersihan arang batu bersama empat pekerja warga asing.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *