Pembelian besar-besaran bakul makanan : Bekalan telur, gula stabil di Sandakan

Spread the love

SANDAKAN, 19 Julai  — Dua wanita baru sahaja mengambil beg makanan dari sebuah kedai aksesori telefon bimbit di sini yang mengadakan inisiatif bank makanan, kemudian terdengar seorang daripadanya berkata tiada telur disertakan.

“Tak mengapa. Mungkin lain kali kita bernasib baik,” kata seorang lagi wanita dan mereka berlalu pulang dengan bantuan yang diterima.

Stok telur dan gula berkurangan di pasar raya dan kedai runcit di Sandakan dan daerah sekitarnya beberapa minggu ini, berkemungkinan disebabkan pembelian besar-besaran daripada penderma dan mereka yang terlibat dalam Program Bakul Makanan oleh kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan.

 Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan Mohamad Hashim berkata bekalan di kedai-kedai pengguna stabil selepas kementerian menasihatkan mereka yang terlibat dalam program berkenaan mendapatkan barangan keperluan terus daripada pembekal.

“Walaupun tindakan mereka mulia untuk memastikan mereka yang memerlukan mempunyai makanan pada masa ini (pandemik COVID-19), sebaiknya pengedar bakul makanan mendapatkan barangan daripada pembekal supaya tidak mengganggu bekalan di pasar raya dan kedai runcit,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke ladang ternakan ayam dekat sini hari ini.

Mohamad berkata dua ladang ternakan ayam utama di Sandakan menghasilkan bekalan telur yang banyak iaitu 130,710 biji pelbagai saiz setiap hari bagi memenuhi permintaan di Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

Beliau berkata gula satu kilogram (1 kg) sudah memenuhi rak-rak di pasar raya utama minggu ini kerana penghantaran bekalan dari Semenanjung telah mula tiba setelah mengalami kelewatan dua minggu.

Menurutnya, kira-kira 660 tan gula tiba secara berperingkat di Pelabuhan Sandakan minggu ini, manakala penghantaran lebih 400 tan dijangka tiba pada dua minggu lagi.

Sementara itu, pemilik kedai aksesori telefon bimbit Law Yee Houng yang memulakan inisiatif itu beberapa minggu lepas berkata, beliau ingin memainkan peranannya dalam membantu golongan memerlukan kerana beliau percaya ada yang tidak tahu bagaimana atau di mana ingin memohon bantuan makanan.

“Tidak banyak, sekurang-kurangnya ini yang dapat kami lakukan. Kami juga menerima sumbangan makanan, jadi kami perlu membungkusnya semula ke dalam beg lebih kecil dan meletakkannya di atas meja di luar kedai,” katanya.

Di sebelah meja itu, satu tanda diletakkan bertulis antaranya: “Ambil saja jika mahu, sumbang jika mampu”.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *