Gelandangan di Sarawak terima vaksin bermula Ogos ini

Spread the love

KUCHING, 19 JULAI: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) bakal memvaksin gelandangan bermula Ogos ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah ia akan dilaksanakan di bawah Program Operasi Bergerak Vaksinasi Gelandangan di Sarawak.

“Program Operasi Vaksinasi Gelandangan di Sarawak akan dilaksanakan di sembilan (9) buah bahagian di negeri ini dengan kerjasama bersepadu (inter-agensi) Pejabat Residen, Pejabat Kesihatan Bahagian, Pejabat Kebajikan masyarakat Bahagian, PDRM, Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya pada sidang media Pemberian Vaksinasi kepada Penghuni Desa Bina Diri, pada Isnin.

Fatimah melawat penerima vaksin di Desa Bina Diri

Pihak KWKPK bersama agensi berkaitan juga telah memulakan satu Operasi Cerapan Gelandangan hingga 1 Ogos bagi mengesan serta mendapatkan profil gelandangan sekaligus menguruskan keperluan vaksinasi gelandangan.

“Kerajaan Negeri Sarawak komited untuk mensasarkan sekurang-kurangnya 80% rakyat berjaya divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

“Oleh itu, dengan adanya program seperti ini adalah untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima vaksin termasuklah gelandangan yang bukan di dalam mana-mana institusi,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya turut merancang untuk menyuntik vaksin dos tunggal bagi golongan berkenaan mengambil kira keadaan mereka yang hidup berpindah randah.

“Untuk mengelak keciciran daripada menerima dos yang kedua, semua pihak berpandangan suntikan vaksin dos tunggal adalah yang sesuai bagi mereka,” ujarnya lagi.

Setakat Julai 2021, jumlah gelandangan yang aktif di Sarawak adalah seramai 221.

Jumlah ini akan didaftarkan untuk mendapat vaksinasi.

Fatimah berbual bersama gelandangan ketika melakukan tinjauan golongan itu di sekitar Kuching sekitar Januari 2021

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *