Warga Emas Maut Dalam Kejadian Tanah Runtuh

Spread the love

KUCHING: Insiden tanah runtuh di Jalan Kota Sentosa-Bau, berhampiran lampu isyarat Jalan Haji Baki, di sini telah meragut nyawa seorang warga emas.

Kenderaan mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam runtuhan tanah sehingga mengakibatkan mangsa tersepit.

Setelah menerima laporan pada jam 12.39 tengah malam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Keadaan tanah yang tidak stabil menyukarkan lagi usaha untuk menyelamatkan mangsa.

“Kita mengambil masa lebih kurang sejam untuk mengeluarkan mangsa. Keadaan tanah yang masih lagi runtuh merisikokan anggota penyelamat, tetapi alhamdulillah, anggota kita berjaya sampai kepada kenderaan mangsa dan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas untuk memotong bahagian pintu,” kata Penolong Kanan Penguasa Bomba Pusat Gerakan Operasi Sarawak, Mohamad Asnan Led.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Kota Sentosa, ASP Mohd Roslan Mat Salleh, menasihatkan pengguna jalan raya untuk menggunakan jalan alternatif ekoran keadaan jalan yang masih belum selamat untuk dilalui.

“Kalau jalan ini tutup, kita nasihat untuk buat lencongan. Kita akan membuat lencongan. Kita akan maklum kepada pihak berkuasa tempatan untuk membuat lencongan supaya jalan ini ditutup terus. Masih bahaya kepada mereka yang lalu-lalang di sini,” kata ASP Roslan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kitang, yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang, meminta agar pihak berwajib segera menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu.

“Jabatan Kerja Raya , Lembaga Air dan mungkin Jabatan Pertahanan Awam Malaysia perlu datang ke sini dan menyiasat sebab bagi keruntuhan ini. Saya berpendapat bahawa hakisan (tanah) ini mungkin ada kaitan dengan saluran paip,” kata Lo.

Mayat mangsa berketurunan Cina berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *