Dua Lagi Kegiatan Judi Atas Talian Dilumpuhkan

Spread the love

KUCHING, 17 JULAI: Dua lagi premis pusat pengoperasian judi atas talian berjaya ditumpaskan pihak polis dalam dua serbuan berasingan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan tersebut menjadikan keseluruhan lapan sindiket jenayah itu dilumpuhkan dalam tempoh sebulan di daerah Kuching.

“Seramai enam individu warga tempatan berusia antara 19 hingga 25 tahun telah ditangkap dalam serbuan di premis pertama.

Kita juga telah merampas pelbagai peralatan komputer yang digunakan untuk mereka mengoperasikan pusat judi atas talian secara haram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.

Dalam serbuan kedua pula, seramai lima individu warganegara Indonesia telah ditahan selain turut merampas pelbagai kelengkapan komputer di premis berkenaan yang digunakan untuk mengoperasikan perjudian haram.

Kedua-dua premis berlainan tingkat itu terletak di sebuah kondominium mewah di Jalan Lapangan Terbang Kuching.

Kesemua suspek dibayar gaji RM1,500 hingga RM1,800 sebulan dan beberapa suspek yang ditahan didapati mempunyai pendidikan sehingga Diploma.

“Pusat perjudian yang pertama diserbu telah beroperasi sejak tujuh bulan lepas dan berdasarkan siasatan awal pasukan polis, mereka telah mengaut keuntungan sebanyak RM1.68 juta dalam tempoh beroperasi,” dedah Ahsmon.

Pusat perjudian haram kedua pula baru beroperasi sejak tiga bulan lepas dan siasatan awal mendapati mereka telah mengaut keuntungan sebanyak RM540,000 dalam tempoh itu, hanya dioperasikan oleh lima orang sahaja.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan penganjur atau ‘tauke’ kedua-dua premis perjudian tersebut telah dikesan dan akan diberkas.

Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala warga asing yang ditangkap pula akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen.

Sebelum ini IPD Kuching telah membuat enam serbuan yang mana terdapat sebuah premis berjaya mengaut keuntungan sehingga lebih RM8 juta sejak mula beroperasi.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *