Kanak-kanak enam tahun maut diseret lembu sejauh 50 meter

Spread the love

JELI, 13 Julai — Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas diseret seekor lembu sejauh 50 meter dalam kejadian di Kampung Rahmat, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Ahmad Arifin berkata kejadian berlaku pada kira-kira 6.40 petang ketika mangsa bersama bapanya berusia 29 tahun pergi ke kawasan padang rumput untuk membawa pulang lembu peliharaan ke rumah.

“Bapa mangsa dikatakan telah membuka ikatan tali lembu sebelum tiba-tiba tali tersebut terbelit pada kaki mangsa.

“Lelaki itu cuba melepaskan belitan tali berkenaan menyebabkan lembu tersebut terkejut dan melarikan diri dalam keadaan mengheret mangsa kira-kira sejauh 50 meter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad berkata kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di kepala dan badan ekoran diseret haiwan itu.

“Siasatan pihak kami mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *