Doktor di Florida berketurunan Haiti ditahan berkaitan pembunuhan Presiden Moise

Spread the love

BOGOTA, 12 Julai — Seorang doktor Haiti yang menetap di Florida, Amerika Syarikat (AS) ditahan pada Ahad kerana disyaki menjadi dalang utama pembunuhan Presiden Jovenel Moise minggu lalu, lapor Anadolu memetik media tempatan.

Menurut pihak berkuasa Haiti, Christian Emmanuel Sanon telah menetap 20 tahun di Florida.

Pengarah Polis Haiti Leon Charles berkata  seorang daripada suspek yang telah ditahan menyebut nama Sanon.

Semasa tangkapan dibuat, sejumlah barang ditemui di rumah Sanon termasuk senjata dan peluru, empat plat lesen Dominican dan topi yang dihiasi logo Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) AS.

Siasatan mengenai kes itu masih diteruskan.

Menurut polis Haiti 19 suspek, termasuk 17 rakyat Colombia dan dua warga Amerika berketurunan Haiti, kini ditahan. 

Moise, 53, memegang jawatan pada 2017 selepas memenangi pilihan raya. Selepas gagal mengadakan pilihan raya, pembangkang menuntut beliau berundur.

Sehari sebelum kematiannya, Moise melantik perdana menteri baharu. 

Haiti dijadual mengadakan pilihan raya pada 26 September.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *