Atlet Sukma 2022 Sibu terima vaksin Covid-19

Spread the love

SIBU, 7 Julai (Bernama) — Seramai 38 atlet Sukma 2022 dari Bahagian Sibu menerima dos pertama vaksin COVID-19 mereka di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Mereka terdiri daripada 58 atlet dari bahagian itu yang mewakili Sarawak dalam sukan bola tampar, bola jaring, hoki, silat, wushu, badminton dan olahraga.

Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata vaksinasi itu bagi membolehkan mereka menjalani latihan berpusat apabila kawalan pergerakan dilonggarkan kelak.

“Ada dalam kalangan mereka sudah divaksin dan ada juga yang masih di bawah umur dan tidak dapat divaksin pada ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang merupakan penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu sebelum itu bertemu dengan atlet terbabit sebelum mereka diberikan vaksin di stadium itu.

Dr Annuar berkata bahagian-bahagian lain di Sarawak turut mengadakan program vaksinasi atlet di kawasan masing-masing.

Mengenai perkembangan terkini pemberian vaksin di Bahagian Sibu, beliau berkata jumlah penerima vaksin telah mencecah angka 8,000 orang sehari pada Isnin dan Selasa lepas.

Katanya, fokus akan diberikan kepada pemberian dos pelengkap vaksin tersebut selepas ini.

Beliau berkata jumlah mereka yang menerima sekurang-kurangnya satu dos pada masa ini telah melebihi jumlah yang mendaftar bagi menerima vaksin COVID-19 itu hasil daripada program outreach yang dilaksanakan di bahagian Sibu.

Menurutnya situasi COVID-19 di 34 zon di bawah Majlis Perbandaran Sibu sudah semakin baik apabila hanya satu zon sahaja yang masih berstatus merah manakala tiga zon sudah berstatus hijau, 24 berstatus kuning dan enam zon berstatus jingga.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *