SOP pencegahan ASF diisytihar di bahagian Kapit, daerah Telang Usan

Spread the love

KUCHING: Bahagian Kapit dan daerah Telang Usan di Miri diisytihar sebagai kawasan kawalan dan pencegahan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud, pengisytiharan tersebut dibuat Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas susulan penularan virus berkenaan di Wilayah Nunukan dan Krayan di Kalimantan Utara, Indonesia yang lokasinya terletak berhampiran dengan Kapit dan Telang Usan.

“Orang ramai termasuk penternak babi di kawasan kawalan penyakit ASF ini dinasihat tidak memberi makanan kepada babi, membawa keluar atau masuk babi hidup, daging babi atau produk babi ke kawasan kawalan ASF dikenal pasti.

“Orang ramai termasuk penternak juga tidak boleh membawa, membeli secara dalam talian atau menghantar babi atau sebarang produk babi ke dalam dan keluar kawasan kawalan virus,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya lagi, penternak babi di bahagian lain juga dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga dan memperketatkan lagi keselamatan bio serta tidak menggalakkan pelawat datang ke ladang ternakan.

“Sila laporkan kepada Pejabat Veterinar Bahagian berdekatan segera sekiranya berlaku kematian tidak normal membabitkan ternakan atau WhatsApp ke 016-284 0918.

“Membawa masuk babi atau produk babi dari Indonesia tanpa permit daripada pihak berkuasa veterinar negeri adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya.

Meskipun ASF bukanlah penyakit yang bersifat zoonosis atau menular ke manusia, namun JPVS akan tetap melakukan pengawasan dan kawalan di sempadan secara berterusan.

Setakat ini, babi diternak di Sarawak masih bebas daripada virus ASF.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *