165, 271 OBBS berdaftar dengan Perkeso

Spread the love

GEORGE TOWN, 5 Julai (Bernama) — Seramai 165,271 Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) seluruh negara telah berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata skim itu menyediakan perlindungan kepada golongan OBBS apabila berlaku kemalangan atau mendapat penyakit semasa menjalankan aktiviti pekerjaan mereka.

“Perlindungan yang disediakan meliputi rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional, di samping faedah lain seperti perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan banyak lagi.

“Bantuan kerajaan di bawah SPS Lindung berbentuk pembiayaan penuh 100 peratus caruman SKSPS yang disasarkan kepada golongan delivery riders (pekerja khidmat penghantaran), juga melibatkan caruman Pelan Kedua SKSPS iaitu sebanyak RM232.80 setahun,” katanya ketika melawat seorang pencarum OBBS, Shukor Hassan di Teluk Bahang hari ini.

Lawatan itu, yang turut dihadiri ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim dan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Othman Nordin, dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Perkeso yang bertemakan ‘Prihatin Lima Dekad dan Selamanya’.

Sementara itu, Shukor, 52, berkata beliau diserang strok selepas terjatuh dari motosikal ketika berhenti di sebuah kedai makan berdekatan rumahnya pada Mac lalu dan sebelah badannya tidak lagi mampu bergerak.

Katanya beliau mula bekerja sebagai pemandu e-hailing sejak tiga tahun lalu dan mula mencarum dengan Perkeso setahun lalu.

“Saya lega dan bersyukur kerana mendapat sumbangan Perkeso kerana ia dapat membantu menampung perbelanjaan keluarga kerana isteri tidak bekerja dan ada anak yang masih bersekolah.

“Saya harap lebih ramai orang akan mencarum dengan Perkeso untuk masa hadapan sekiranya terlibat dalam kemalangan di tempat kerja,” katanya.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *