Terjebak judi dalam talian, percintaan dorong dua pelajar pinjam Along

Spread the love

KOTA BHARU, 4 Julai (Bernama) — Terjebak dengan judi dalam talian dan percintaan menyebabkan dua pelajar tingkatan lima di negeri ini menjadi mangsa along, dedah Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK).

Yang Dipertuanya Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata mereka antara 280 individu yang membuat aduan diugut oleh along sepanjang bulan lepas, setelah gagal melunaskan pinjaman.

Dalam kes dua pelajar terbabit, masing-masing hanya meminjam RM600 dan RM1,000, namun kini perlu membayar balik RM3,000 dan RM5,000, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan air mineral kepada Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) Datuk Dr Selasawati Ghazali untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Kelantan, di sini hari ini.  

Mengulas lanjut, beliau berkata kes lain didakwa berpunca daripada desakan hidup dan juga kegiatan judi dalam talian yang semakin berleluasa sekarang.

Menurutnya, PPIK percaya nombor-nombor agensi pinjaman lintah darat ini yang dipamer di merata-rata tempat, turut mendorong orang ramai yang mungkin dalam keadaan terdesak, memilih untuk meminjam daripada along tanpa menghiraukan faedah pinjaman yang tinggi.

“Secara purata, pihak kami (PPIK) menerima 10 aduan hampir setiap hari daripada peminjam ini,” katanya.

Beliau berkata bagi menyelesaikan masalah peminjam dengan along terbabit, PPIK akan cuba berunding dengan ceti haram berkenaan untuk mengurangkan kadar faedah kepada sekitar 10 peratus sahaja.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *