RM27.27 Juta Nilai Rampasan Bagi Tempoh Setengah Tahun Pertama 2021

Spread the love

KUCHING, 5 JULAI: Sejumlah RM27.27 juta rampasan barang telah direkodkan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi tempoh setengah tahun pertama 2021.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Saini Bongkek mendedahkan rampasan tersebut melibatkan 229 serbuan dan 754 tangkapan serta pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Nilai rokok seludup menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah berkenaan iaitu RM16.3 juta, diikuti kayu balak RM4.9 juta dan kenderaan RM4.4 juta.

“Manakala arak dan minuman keras bernilai lebih setengah juta, dadah bernilai RM28,865, hidupan dan tumbuhan dilindungi berjumlah RM222,000 dan rampasan lain bernilai RM691,067,” jelasnya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA hari ini.

Kesemua rampasan tersebut dilakukan di seluruh negeri di bawah Op Libas, Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 128 lelaki dan 21 wanita warga tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ serta 137 lelaki dan 32 wanita warga asing telah ditangkap dalam tempoh berkenaan manakala 367 lelaki dan 69 wanita telah diusir ke negara asal mereka iaitu Indonesia.

“Siasatan ke atas semua tangkapan dan rampasan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran, Ordinan Hutan Sarawak 2015, Ordinan Pelindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 dan lain-lain akta berkaitan,” jelas Saini.

‘Transporter’ atau tekong darat ini dipercayai menerima bayaran minimum berjumlah RM300 bagi setiap perjalanan dengan membawa PATI menyelinap masuk ke sempadan negara melalui pelbagai cara termasuklah berjalan kaki dan menaiki kenderaan.

Saini juga memaklumkan sindiket ini sering mengubah modus operandi mereka dalam mengatur perjalanan dan tempat transit sementara.

“Mereka ini sangat licik, sentiasa pantau keadaan kawalan sekeliling dan tahu pergerakan pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan,” dedah Saini.

Serian menjadi lokasi ‘panas’ penyeludupan PATI ke negara ini atas beberapa faktor termasuklah peluang pekerjaan tinggi dalam sektor pembuatan, peladangan dan pembinaan selain faktor-faktor lain yang menjamin kehidupan yang lebih selesa dan selamat.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *