JPBNS Optimis Capai Sasaran Vaksinasi 2.2 Juta Rakyat Menjelang Hujung Ogos Ini

Spread the love

BAU, 5 JULAI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) optimis untuk mencapai sasaran seramai 2.2 juta orang rakyat divaksinasi menjelang hujung Ogos ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri sangat komited dalam memastikan kejayaan program terakhir vaksinasi COVID-19.

Bercakap ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bomba dan Penyelamat Bau pada Ahad, beliau memberitahu, JPBNS juga menyasarkan untuk meningkatkan vaksinasi sehingga 70,000 dos sehari.

“Kita pernah mencapai kadar vaksinasi sehingga 65,000 dos sehari tetapi semalam kita hanya memberikan 47,679 dos suntikan sehari.

“Malah setakat ini, kita telah berjaya memvaksinasi seramai 1,456,831 penduduk di negeri ini iaitu terdiri daripada 1,178,303 orang menerima dos pertama dan 278,528 orang lagi untuk dos kedua,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah menjelaskan secara keseluruhan, Sarawak telah mencapai rekod yang sangat baik dalam operasi pemvaksinannya.

Lawatan dan tinjuan tersebut adalah untuk melihat perkembangan semasa proses pemberian vaksin di PPV Dewan Bomba dan Penyelamat Bau dan mendengar taklimat berhubung pencapaian pelaksanaan program vaksinasi yang beroperasi di beberapa PPV awam dan swasta di Bau.

Taklimat pelaksanaan pemberian vaksin disampaikan oleh Pengerusi Jawankuasa Bencana Bau yang juga Pegawai Daerah Bau, Anileia Siam dan taklimat kedua seterusnya disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Bau, Dr. Winnie Johnny.

Turut hadir mengiringi rombongan beliau ialah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar) yang juga Timbalan Pengerusi JPBNS, Datu Ik Pahon Joyik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, ADUN Serembu, Miro Simuh, Residen Bahagian Kuching merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Kuching, Sherrina Hussaini serta pegawai-pegawai kerajaan lain.

-EDISI UKAS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *