Sarawak Minta Penilaian Nilai Ambang Dibuat Mengikut Bahagian

Spread the love

BAU, JULAI 4: Kerajaan Sarawak ketika ini dalam proses permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membenarkan penilaian nilai ambang dibuat mengikut bahagian, berbanding keseluruhan negeri.

Hal ini bagi membolehkan bahagian-bahagian tertentu di negeri ini beralih ke fasa kedua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

“Kita juga hendak memohon kepada Kerajaan Perseketuan bahawa penilaian dibuat mengikut bahagian. Tetapi ini belum lulus,” ujar beliau ketika ditemui semasa lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Bomba daerah Bau.

Tambahnya lagi, penilaian nilai ambang mengikut bahagian adalah wajar berikutan kawasan Sarawak yang luas.

“Sekarang ianya bergantung kepada nilai ambang untuk negeri Sarawak. Walaupun, ada bahagian-bahagian seperti Limbang yang mencapai nilai ambang yang ditentukan, namun oleh kerana penilaian dibuat mengikut negeri, ia tidak layak beralih ke fasa kedua,” kata beliau.

Semalam, lima negeri telah diumumkan akan beralih ke fasa kedua PPN termasuk Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis mulai Isnin, 5 Julai ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelima-lima negeri terbabit telah mencapai tiga indikator nilai ambang yang ditentukan antaranya catatan kes harian COVID-19 bawah 4,000, peningkatan kapasiti unit rawatan rapi (ICU), serta liputan vaksinasi dua dos meliputi 10 peratus daripada keseluruhan populasi.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *