Pemilik pusat hiburan di Kuching dikompaun kali ketiga gagal patuh SOP

Spread the love

KUCHING, 3 Julai (Bernama) — Polis mengeluarkan kompaun  ke atas pemilik sebuah pusat hiburan di Jalan Song di sini selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran ketika penguatkuasaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kompaun bernilai RM10,000 itu dikeluarkan kepada pemilik premis berkenaan kira-kira 10.30 malam tadi menerusi Op Patuh yang turut disertai Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak.

Beliau berkata sembilan pelanggan berumur 19 hingga 32 tahun yang berada di dalam premis tersebut turut dikompaun RM2,000 seorang.

“Semakan polis mendapati premis tersebut (pusat hiburan) pernah dikompaun dua kali sebelum ini iaitu pada Ogos 2020 dan Mac 2021 atas kesalahan membuka premis lebih dari masa ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan tiada penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata susulan daripada keingkaran berterusan daripada pemilik premis terbabit, pihaknya akan mencadangkan pembatalan lesen premis perniagaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat.

Beliau berkata sejak Op Patuh dilancarkan, sebanyak 11 kompaun telah dikeluarkan melibatkan dua premis dan 31 individu di bandar raya ini dengan jumlah keseluruhan kompaun mencecah RM64,000.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *