Pilihan Raya Bukan Fokus Utama Ketika Ini

Spread the love

KUCHING, 1 JULAI : Sarawak ketika ini tidak memfokuskan untuk mengadakan pilihan raya tetapi sebaliknya meletakkan program vaksinasi sebagai keutamaan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan tumpuan kerajaan negeri ketika ini terarah kepada usaha menyelamatkan nyawa rakyat dengan mempergiatkan program vaksinasi COVID-19.

“Disini kita tidak memikirkan pilihan raya terlebih dahulu tetapi sebaliknya fokus kepada program vaksinasi rakyat. Yang penting rakyat selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin, PPV Klinik Kesihatan Jalan Masjid, di Kuching hari ini.

Dewan Undangan Negeri Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Bagaimanapun proses pilihan raya boleh diadakan dalam tempoh 60 hari sekiranya DUN dibubarkan selepas perintah darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Sementara itu, berhubung kelancaran proses vaksinasi di Sarawak kata Abang Johari, ia didorong strategi seperti ‘suntik dahulu,daftar kemudian’ dan unit mobile.

“Dengan situasi COVID-19 sekarang, saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa Sarawak mahu membeli vaksin sendiri,” ujarnya.

Setakat ini Sarawak telah memberikan suntikan vaksin dengan jumlah purata 50 peratus untuk suntikan dos pertama dan 11.5 peratus untuk dos kedua.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *