Akad Nikah Dibenarkan Di Sarawak Mulai 1 Julai

Spread the love

KUCHING: Majlis Islam Sarawak membenarkan akad nikah dilaksanakan dalam tempoh Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara di negeri ini mulai 1 Julai. 
Bagaimanapun mengikut garis panduan yang dikeluarkan MIS hari ini, akad nikah pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin hanya boleh dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Bahagian atau Daerah dan premis MIS dengan beberapa ketetapan. 
“Jumlah kehadiran maksimum adalah seramai lapan orang (termasuk jurunikah dan saksi) serta tertakluk kepada kapasiti ruang yang digunakan. 
“Majlis adat seperti pertukaran barang hantaran, menyarung cincin atau seumpamanya dan kenduri bagi meraikan akad nikah adalah tidak dibenarkan,” katanya. 
Lain-lain ketetapan yang wajib dipatuhi ketika pelaksanaan akad nikah ialah mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera dan menunjukkan status risiko dalam aplikasi tersebut kepada petugas pendaftaran masuk premis. 
Hanya individu yang berstatus risiko rendah serta suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah celcius dibenarkan hadir. 
Pasangan akad nikah serta mereka yang hadir juga perlu sentiasa memakai pelitup mulut dan hidung, mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman, tidak berjabat tangan dan mematuhi masa temu janji yang telah ditetapkan. 
Manakala tempoh masa akad nikah bagi setiap pasangan tidak melebihi 20 minit termasuk lafaz taklik. 
MIS dalam pada itu mengingatkan semua untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan ini dan boleh dipinda dari semasa ke semasa. 

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *