Sarawak Energy terima guna teknologi baharu bekal kuasa ke Ba’kelalan

Spread the love

KUCHING, 29 Jun (Bernama) — Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) menerima guna teknologi baharu – Medium Voltage Covered Conductor (MVCC) – untuk menghubungkan bekalan tenaga elektrik dari pekan Lawas ke kawasan petempatan terpencil di Ba’Kelalan, daerah paling utara Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata fasa pertama teknologi itu sudah dimulakan dan akan diselaraskan dengan pencawang voltan tinggi tambahan pada 2022. 

”Teknologi MVCC berupaya membekalkan elektrik tanpa gangguan sekalipun terkena tanaman atau tumbuh-tumbuhan, sekali gus membantu memperkukuh kestabilan bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Ba’Kelalan yang terletak kira-kira lapan jam pemanduan melalui bekas jalan balak dari bandar Lawas, terkenal dengan garam tanah tinggi dan beras ‘adan’ yang ditanam di situ menerusi kaedah pertanian mesra alam dan bebas bahan kimia dikenali sebagai Sistem Intensifikasi Padi (SRI).

Bagaimanapun, disebabkan kedudukan yang jauh dari bandar, petani jarang dapat menjual hasil tanaman mereka di pasar lebih besar, manakala padi pula diproses secara manual atau mesin yang dikuasakan oleh generator diesel yang hanya dapat bertahan dalam tempoh yang singkat.

default

Dalam kenyataan sama, Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom memberi jaminan kepada masyaralat bahawa menerusi bekalan elektrik yang stabil menjelang 2023, mereka akan berpeluang menikmati kemudahan penyejukan serta mesin moden bagi merangsang produktiviti pertanian.

Ini katanya akan membolehkan komuniti di pedalaman Lawas menjual hasil tanaman mereka di bandar yang lebih besar.

“Perancangan dan pelaksanaan sistem bekalan elektrik luar bandar yang serupa sedang dijalankan di seluruh sarawak bagi mencapai matlamat liputan penuh bekalan elektrik,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira 18,000 isi rumah di kawasan pedalaman di Limbang yang turut meliputi daerah Lawas, kini menikmati bekalan elektrik yang stabil dan berpatutan menerusi pelaksanaan serentak Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif. 

“Menjelang akhir 2021, kira-kira 200 lagi isi rumah di bahagian itu akan dihubungkan ke grid. Menjelang 2023, sebanyak 866 isi rumah akan mempunyai bekalan elektrik 24 jam bagi merealisasikan matlamat pembekalan elektrik di keseluruhan bahagian berkenaan,” katanya.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *