Warga Emas Tolak Anasir Buruk, Ambil Vaksin Demi Kesihatan Bersama

Spread the love

TELUK INTAN, 28 Jun (Bernama) — Menolak cakap-cakap mengenai keburukan vaksin, sekumpulan warga emas dari Pusat Jagaan Lily Care Centre, di sini memberanikan diri untuk menerima suntikan demi kesihatan mereka dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

Penghuni pusat jagaan itu Rosemary Au, 87, berkata beliau tidak pernah berasa takut atau ragu-ragu sejak dari awal lagi apabila mendapat tahu dirinya akan menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Saya tidak berasa sakit dan tiada kesan sampingan pun apabila dicucuk vaksin. Bagi saya vaksin ini sangat penting kerana saya merupakan golongan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19.

“Saya melihat setiap hari berita dalam televisyen mengenai vaksin COVID-19, jadi saya memang tidak takut langsung,” katanya yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin sewaktu ditemui Bernama di pusat pemberian vaksin (PPV) Daerah Hilir Perak, kira-kira 73 kilometer dari Ipoh baru-baru ini.

Rosemary antara kumpulan warga emas di Teluk Intan yang mendapat giliran untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin, malah teruja menanti panggilan sebaik sahaja tarikh janji temu suntikan dimaklumkan. 

Seorang lagi rakannya yang tidak mahu dikenali ketika disapa, ringkas menunjukkan isyarat ‘tanda bagus’ sambil tersenyum selepas mendapatkan vaksin di PPV tersebut.  

Sementara itu, pentadbir pusat jagaan berkenaan, Ng Eeven berkata 18 daripada 30 penghuni pusat jagaan itu sudah selesai menerima dua dos vaksin tersebut manakala penghuni selebihnya hanya menunggu kebenaran daripada anggota keluarga masing-masing untuk divaksin.

Penyelaras PPV tersebut Dr Abu Bakar Hamdan berkata setakat ini, pihaknya tidak menghadapi masalah  daripada warga emas yang enggan untuk menerima suntikan tersebut.

“Walaupun pada awalnya ada mendapat tentangan daripada keluarga terutamanya anak-anak, tetapi selepas melihat rakan atau jiran mereka okey selepas dicucuk, baru mereka bersetuju dan datang ke PPV untuk divaksin,” jelasnya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *