Tujuh Lelaki Diberkas Ketika Leka Berjudi

Spread the love

JERTIH, 28 Jun (Bernama) — Seramai tujuh lelaki ditahan polis ketika sedang leka bermain judi daun terup di dalam semak sekitar Kampung Kubang Ikan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menyerbu kawasan berkenaan pada 4 petang dan menahan kesemua suspek berumur 44 hingga 61 tahun.

“Semasa serbuan, kesemua suspek tidak sempat melarikan diri kerana kawasan tersebut telah dikepung. Pihak polis telah merampas 52 keping daun terup dan wang tunai sebanyak RM1,739 yang disyaki digunakan untuk pertaruhan mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abdul Rozak berkata kesemua mereka direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan menerusi siasatan awal, mereka mengaku terlibat bermain judi di lokasi berkenaan sejak dua minggu lepas.

Tambah beliau, saringan awal ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah.

Selain itu, tujuh lelaki berkenaan telah dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kerana melanggar syarat Fasa 1 Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara. 

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *