#PEMULIH i-Citra Diperkenal, Pengeluaran Sehingga RM5,000

Spread the love

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Citra bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Namun, ia tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Jelas Muhyiddin, ini merupakan keputusan sukar kerana kerajaan sedar, ini adalah simpanan hari tua rakyat.

“Penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran,” ujarnya.

Sebelum ini, Malaysia merupakan antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan inisiatif seperti pelaksanaan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *