LANGGAR SOP: Polis Rakam Keterangan Lapan Individu Termasuk Penyanyi Legenda

Spread the love

IPOH, (Bernama) — Beberapa individu termasuk seorang penyanyi legenda telah dipanggil bagi memberi keterangan kepada pihak polis berhubung penularan gambar pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) menunjukkan satu majlis sosial di sebuah ladang Kampung Poh di Bidor, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata penyanyi berusia 62 tahun itu dan seorang lagi selebriti era 80-an hadir memberi keterangan lanjut berkaitan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, tengah hari tadi.

“Semalam, kami telah ambil keterangan daripada enam individu yang berada di majlis itu manakala dua selebriti itu pada hari ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, tular gambar menunjukkan majlis membabitkan selebriti tempatan dan beberapa individu yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di laman media sosial sejak semalam.

Gambar yang dipercayai dirakam pada 24 Jun lepas itu memaparkan tiada penjarakan fizikal malah ada yang tidak memakai pelitup muka.

Susulan itu, polis telah menjalankan siasatan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Katanya pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk majlis atau perhimpunan sepanjang tempoh PKP 3.0 dan sentiasa mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *