JPBN Sarawak Benarkan Premis Makanan Beroperasi Hingga 10 Malam

Spread the love

KUCHING, 28 JUN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menambah baik prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan premis makan dan restoran beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam bermula Selasa (29 Jun 2021).

Penambahbaikan itu selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 memandangkan kes COVID-19 masih tinggi.

“Kedai buku dan alat tulis dibenarkan untuk beroperasi mengikut syarat tempoh operasi yang ditetapkan untuk sektor perkhidmatan, ekonomi, industri, sektor-sektor dan aktiviti-aktiviti lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, JPBN Sarawak turut memutuskan kawalan pegerakan individu atau kumpulan individu adalah tidak dibenarkan berada di kawasan awam mulai jam 12.01 pagi hingga 5.00 pagi tanpa alasan yang munasabah.

Pada masa sama, JPBN Sarawak turut melanjutkan PKPD di lima kawasan iaitu Blok E2, E3 & W5, Foreign Lodge dan Blok LL1, LL2 & LL5, Local Lodge, Samalaju Industrial Park Bintulu (27 Jun hingga 3 Julai 2021); Rh. Alat anak Mukan, Mukah (29 Jun hingga 12 Julai 2021); Mukah Palm Oil Mill, Mukah (29 Jun hingga 12 Julai 2021); Rh. Mara, Gran C, Tanjung Bijat, Sri Aman (29 Jun hingga 6 Julai 2021) dan Rh. Sandai, Sungai Mapai, Kanowit (30 Jun hingga 6 Julai 2021).

Selain itu, lima kawasan ditamatkan PKPD adalah Rh. Robert anak Pengabang, Sebauh (27 Jun 2021); Kuarters Pekerja GSS Port, Samalaju, Bintulu (27 Jun 2021); Rh. Juliana, Sg. Kabu, Sarikei (28 Jun 2021); Kampung Darat Gerigat, Kabong (28 Jun 2021) dan Kuarters Pekerja Ladang Semai Mekar, Bintulu (28 Jun 2021).

Sementara itu, Sarawak merekodkan 409 kes baharu COVID-19 dengan dua kematian, pada Isnin.

Jelasnya, sejumlah 234 atau 57.21 peratus daripada jumlah kes ini dikesan di lima daerah iaitu di Sibu, Kuching, Sarikei, Tebedu dan Mukah.

“Daerah-daerah yang merekodkan kes pada hari ini ialah daerah Sibu (75), Kuching (65), Sarikei (35), Tebedu (31), Mukah (28), Bintulu (23), Kanowit (23), Miri (22), Song (12), Kapit (11), Telang Usan (10), Saratok (9), Sri Aman (9), Lubok Antu (8), Tatau (8), Subis (7), Samarahan (7), Sebauh (5), Bukit Mabong (5), Pakan (4), Simunjan (2), Betong (2), Selangau (2), Lundu (1), Tanjung Manis (1), Bau (1), Meradong (1), Serian (1) dan Pusa (1),” katanya.

Menurut kenyataan lagi, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 64,233.

Mengenai dua kematian yang dilaporkan hari ini, JPBN Sarawak memberitahu, satu melibatkan wanita berusia 76 tahun di Hospital Sarikei dan satu lagi kes melibatkan wanita berusia 83 tahun di Hospital Kapit.

“Ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah bertambah kepada seramai 406 orang.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengucapkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa,” ujarnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *