11 Individu Dikompaun Rm1,500 Seorang Kerana Sabung Ayam

Spread the love

SARIKEI, 27 JUN: Padah sabung ayam, sebelas (11) individu berjaya ditahan pihak polis Daerah Julau semasa serbuan di kawasan tanah lapang dalam kebun kelapa sawit, Batu 15 Jalan KJD, Julau, Sarawak, pada Sabtu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu melibatkan suspek terdiri daripada sepuluh lelaki dan seorang wanita.

Serbuan yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Anggota Balai Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Julau mendapati 11 suspek berkenaan merupakan tujuh orang lelaki berbangsa Iban, dua orang lelaki berbangsa Cina, seorang lelaki dan seorang wanita berbangsa Melayu.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin Brayun berkata, suspek-suspek yang ditahan adalah dari lingkungan umur 36 hingga 72 tahun.

“Kesemua tangkapan ini telah dibawa ke IPD Julau dan telah dikompaun Rm1, 500 setiap seorang kerana telah melanggar peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2021 iaitu melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya kepada TVS, pada Ahad.

Menurutnya lagi, suspek juga telah melanggar Seksyen 3(1) Ordinan Penganiayaan Binatang 1963 kerana menjalankan aktiviti sabung ayam di mana mereka boleh didenda tidak lebih Rm1,000 dan juga boleh dipenjara tidak lebih dari enam (6) bulan.

Hasil serbuan turut merampas lima ekor ayam sabung hidup, lima ekor ayam sabung mati, satu unit alat penimbang, satu keratan kotak bertulis angka-angka, satu bilah taji ayam, sebuah meja berwarna kuning dan beberapa keping wang tunai.

Beliau turut memperingati orang ramai agar terus mematuhi SOP sepanjang tempoh PKP bagi membantu mengurangkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan komuniti.

Lokasi aktiviti sabung ayam dilakukan


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *