Sarawak Energy Jamin Bekalan Elektrik Yang Stabil Bagi Penduduk Limbang

Spread the love

Kuching: Sarawak Energy Bhd (SEB) mengutamakan usaha untuk menambah baik bekalan elektrik kepada penduduk di Limbang.

Ia telah mengerahkan penjana kuasa tambahan untuk memenuhi dan menstabilkan bekalan tenaga bagi muatan di daerah tersebut.

Ini ekoran bekalan tenaga yang tidak stabil sejak Mei lalu dari Stesen Tenaga Limbang.

Penjana tenaga sedia ada juga sudah mencapai kapasiti maksimum, dan ia berisiko tidak dapat menampung permintaan pada waktu puncak terutamanya ketika cuaca panas. 

Kerja memperbaiki penjana kuasa selama ini lambat disebabkan oleh sekatan pergerakan.

Gangguan bekalan sementara ke kawasan tertentu di Limbang pada waktu muatan melebihi kapasiti penjana tenaga sedia ada juga disebabkan oleh pelepasan muatan (load shedding).

Pelepasan muatan, di mana bekalan elektrik sedia ada diutamakan bagi kemudahan tertentu seperti hospital, dilakukan untuk mengelak muatan berlebihan dan kejadian putus bekalan sepenuhnya dalam sistem tenaga pada waktu permintaan elektrik sangat tinggi.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menstabilkan bekalan secepat mungkin dan telah mengusahakan ini seberapa segera sejak isu ini pertama kali direkodkan pada Mei,” kata Naib Presiden SEB bagi Pengedaran, Yusri Safri.

YUSRI SAFRI
Naib Presiden bagi Pengedaran,
Sarawak Energy Bhd

“Kami amat menyesali kesusahan yang dialami penduduk Limbang disebabkan oleh gangguan bekalan, dan kami memberi jaminan kepada mereka bahawa kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan mereka, termasuk menaikkan kapasiti penjanaan,” ujarnya.

Menurut Yusri, kerja membaik pulih set penjana tenaga yang rosak sedang dijalankan

“Kami menjangkakan sebuah penjana untuk berfungsi semula pada Jumaat (25 Jun), seterusnya memulihkan bekalan seperti biasa kepada Limbang menjelang hujung bulan, manakala sebuah lagi penjana dijangka kembali berfungsi dalam masa tiga bulan lagi, sementara menunggu penghantaran alat ganti,” tambahnya.

“Pasukan operasi SEB juga akan berusaha sedaya upaya untuk memulihkan bekalan ke kawasan yang terjejas secepat mungkin dengan selamat jika berlaku gangguan.”

SEB juga telah mengerahkan dua set penjana kuasa 1500kW tambahan dari Kuching untuk menampung permintaan muatan di Limbang dan bertindak sebagai bekalan sokongan.

Ia juga untuk melengkapi satu unit set penjana kuasa bergerak 1 ampere Megavolt (MVA) yang bari-baru ini dikerahkan dari Miri.

Yusri juga menegaskan bahawa kapasiti penjanaan bagi Limbang dijangka mencukupi apabila kerja membaik-pulih penjana kuasa selesai dijalankan.

“Sekatan semasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, yang diburukkan lagi oleh laluan panjang yang melangkaui pintu sempadan antarabangsa untuk pergi ke Limbang, telah melambatkan kerja membaik-pulih tetapi kami tetap komited untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik di daerah itu,” tambah Yusri.

Sementara itu, usaha untuk menghubungkan daerah itu dengan projek penyambungan Grid Utara terus dijalankan walaupun mendepani cabaran daripada situasi COVID-19.

Ini adalah satu penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan Limbang.

Di bawah projek penyambungan Grid Utara, Limbang akan disambung kepada loji-loji tenaga utama Sarawak menerusi Grid tersebut oleh pencawang 275/33/11kV Voltan Tinggi Bandar Limbang, yang dijangka siap pada 2023.

Ini bermakna ia tidak akan bergantung kepada penjanaan diesel lagi.

Penyambungan Grid itu dirancang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat selari dengan pembangunan pesat di bahagian Limbang yang sedang berkembang dengan kawasan perumahan, perniagaan dan bandar baharu.

Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai gangguan bekalan di Limbang, penduduk boleh memanggil Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam SEB di talian 1300-88-3111 atau emel kepada customercare@sarawakenergy.com.

Stesen Tenaga Limbang

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *