Polis Tumpas Sindiket Perjudian, Tahan Sembilan Individu

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, (Bernama) — Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selepas menahan lima lelaki dan empat wanita di sebuah rumah serta merampas wang pertaruhan RM19,641 dalam serbuan di Kampung Paya Tanah Liat, di sini hari ini, 24 Jun 2021

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata dalam serbuan 3.45 petang itu, polis menahan sembilan individu berumur 42 hingga 56 tahun di rumah sewa tersebut susulan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihaknya.

“Sindiket itu menyewa rumah tersebut sejak tiga bulan lepas dan lelaki berumur 48 tahun yang ditahan itu merupakan dalang utama dengan menyediakan semua barang perjudian untuk menjalankan judi jenis ‘Si Goh Lak’ secara dalam talian di situ. Lapan lagi individu bekerja sebagai operator perjudian di situ.

“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan untuk mereka menjalankan judi dalam talian antaranya cip pelbagai warna, dadu, kerusi, meja, telefon bimbit, modem, kertas catatan perjudian dan wang tunai sebanyak RM19,641 dipercayai duit pertaruhan judi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati sindiket itu menggunakan aplikasi Live Wechat Group sebagai platform penerimaan pertaruhan perjudian dan dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap hari.

Beliau berkata kesemua mereka direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 malah masing-masing turut dikompaun RM1,500 setiap seorang menurut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit  2021.

— BERNAMA 

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *