Dua Lelaki Bawa Dadah Bernilai Lebih RM5,000 Ditahan Di SJR Bahau

Spread the love

SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) — Polis merampas dadah seberat 123.75 gram bernilai RM5,193 setelah penahanan dua lelaki ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Taman Sornam Jalan Bahau-Juasseh, Bahau, Jempol, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian pada 2.30 petang itu, kedua-dua suspek berusia 39 tahun yang menaiki kereta Proton Persona yang dalam keadaan mencurigakan itu ditahan setelah gagal memberikan alasan munasabah sebelum pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai dadah di bahagian brek tangan kereta berkenaan.

“Polis merampas dua paket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 110.5 gram (g) dan dua paket plastik lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 13.25g, kesemuanya bernilai RM5,193,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoo berkata kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh itu juga didapati positif dadah jenis MOP selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 

Katanya mereka masing-masing diperintah menjalani tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Rengam, Johor dan PPA Batu Gajah, Perak.

Dalam pada itu, Hoo berkata kedua-dua suspek juga dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan kesalahan rentas negeri. 

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *