Program Vaksinasi Bergerak Bantu Percepat Capai Imuniti Kelompok

Spread the love

Kapit, 23 Jun – Kaedah ‘walk in’ dan vaksinasi bergerak di kawasan luar bandar dan pedalaman terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.

Terutamanya penduduk di kawasan pedalaman Kapit yang rata-ratanya menghadapi kesukaran untuk datang ke bandar bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, perkara ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memberi vaksin kepada rakyat di luar bandar sekali gus mampu mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan oleh kerajaan.

“Kita dapat melihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang mencari rakyat ke kawasan pedalaman dan bukan rakyat yang datang mencari mereka. Pasukan vaksinasi datang ke kawasan rumah panjang dan memberi vaksin kepada penduduk di rumah panjang.” katanya semasa dihubungi pemberita TVS pada Rabu.

Jelasnya, kaedah seperti ini dapat membantu melancarka lagi proses vaksinasi di rumah panjang dan semua rakyat tidak ketinggalan daripada menerima vaksin.

“KKM akan pergi ke kawasan pedalaman dan memberi vaksin kepada penduduk yang datang ‘first come, first served’ iaitu datang dulu terima vaksin, kemudian baru membuat pendaftaran.” katanya lagi.

Datuk wilson memberitahu, cara ini sangat efisien dan tepat dijalankan di kawasan pedalaman kerana majoriti penduduk tidak dapat menggunakan aplikasi Mysejahtera dan jaringan telekomunikasi yang kurang baik.

Dalam pada itu, beliau berharap penduduk di kawasan pedalaman Parlimen Hulu Rajang dapat menerima vaksin pada hujung bulan ini sehingga pertengahan Julai.

Beliau dan Timbalan Menteri Kesihatan II merangkap Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang telah melawat dan memantau ke salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Dewan SMK Baleh, Kapit pada rabu.

Jelasnya, kedatangan Timbalan Menteri Kesihatan II itu bertujuan untuk melihat sendiri perkembangan di PPV dan akan memaklumkan kepada KKM bahawa penduduk di pedalaman tidak ketinggalan daripada menerima vaksin.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *